CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 12, 2008

INFO KESIHATAN


SAKIT BUAH PINGGANG-Adakah Kita mengetahuinya....

BUAH pinggang atau ginjal mungkin bukan organ tumpuan apabila membincangkan penyakit kronik yang membahayakan nyawa. Namun, perlu disedari bahawa organ penapis bahan kumuh badan ini memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga keseimbangan beberapa fungsi badan dan organ lain.
Untuk meningkatkan kesedaran risiko penyakit buah pinggang kepada orang ramai, Hari Buah Pinggang Sedunia mula diadakan sejak 2006, pada hari Khamis kedua bulan Mac setiap tahun. Hasil inisiatif bersama Persatuan Nefrologi Antarabangsa (ISF) dan Persekutuan Yayasan Buah Pinggang Antarabangsa (IFKF), sambutan hari berkenaan juga untuk menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal masalah buah pinggang.
Dianggarkan lebih 500 juta penduduk dunia atau kira-kira 10 peratus golongan dewasa kini mengalami masalah buah pinggang atau penyakit buah pinggang kronik (CKD) dengan kira-kira 2,500 pesakit baru mengalami masalah buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis setiap tahun di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan bilangan kes CKD perlu diturunkan sebanyak dua peratus untuk setiap tahun bagi 10 tahun akan datang dengan meningkatkan kesedaran umum tentang pentingnya pengesanan awal dan langkah pencegahan penyakit buah pinggang.
Langkah ini diharapkan dapat mengelakkan sejumlah 36 juta kematian akibat masalah buah pinggang dalam tempoh berkenaan. Dengan tema ‘buah pinggang yang mengagumkan’ tahun ini, diharap dapat menekankan betapa pentingnya peranan buah pinggang yang menapis dan membersihkan 200 liter darah setiap hari.
Antara faktor meningkatkan risiko CKD adalah, pesakit diabetes mellitus atau hipertensi, berat badan berlebihan atau obes, menghisap rokok, umur melebihi 50 tahun atau mempunyai sejarah keluarga dengan diabetes mellitus, hipertensi dan penyakit buah pinggang. Mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko ini perlu menjalani pemeriksaan berkala bagi memastikan buah pinggang sihat dan berfungsi dengan baik. CKD boleh dikesan dengan ujian mudah terhadap air kencing bagi menguji tahap kreatinine, tahap penapisan dan kehadiran protein albumin.
Dengan adanya diabetes atau hipertensi, atau kedua-duanya sekali, CKD mungkin akan menjadi lebih teruk sehingga membawa kepada kegagalan fungsi tahap akhir buah pinggang. Jika ini berlaku, pesakit hanya mempunyai dua pilihan sama ada menjalani rawatan dialisis (mencuci darah) atau pemindahan buah pinggang.
Tempatan
Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Rozina Ghazalli menjelaskan CKD adalah penyakit senyap yang berlaku tanpa disedari sehinggalah mencapai tahap akhir.
“Kerosakan berterusan yang berlaku pada buah pinggang sering terlepas pandang kerana tidak menyakitkan pada peringkat awal.
“Jika CKD berkembang kepada kegagalan buah pinggang peringkat akhir, pesakit terpaksa menanggung kos ubat yang tinggi sama ada melalui dialisis setiap minggu ataupun pemindahan buah pinggang,” katanya.
Dr. Rozina menegaskan, pendedahan kepada orang ramai tentang bahaya penyakit seperti diabetes dan juga CKD dapat membantu mengawal penularan penyakit kronik dalam jangka panjang.
“Rekod Pendaftaran Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia menunjukkan lebih 18,000 pesakit kini menjalani rawatan dialisis atau telah menjalani pemindahan buah pinggang.
“Lebih 57 peratus daripada bilangan pesakit buah pinggang berkenaan turut direkodkan mempunyai diabetes,” ujar beliau.
Dr. Rozina juga menegaskan, pendedahan maklumat penjagaan dan pencegahan penyakit buah pinggang kepada umum akan mengurangkan beban penyakit di samping beban psikososial dan ekonomi terhadap pesakit, keluarga, komuniti dan kerajaan.
Antara cara untuk menjaga dan mencegah penyakit buah pinggang adalah dengan mengawal tekanan darah, mengawal diabetes, gaya hidup sihat (pemakanan dan senaman), berhenti merokok, menjaga berat badan, minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari dan mengelakkan mengambil ubat yang boleh merosakkan buah pinggang seperti ubat penahan sakit tertentu. Buah pinggang bukan sahaja berfungsi menapis dan membuang toksin dan air berlebihan di dalam badan malahan penting dalam menghasilkan hormon-hormon tertentu untuk membuah sel darah, mengawal tekanan darah dan mengekalkan tulang yang kuat.
Menurut Dr. Rozina, kegagalan buah pinggang juga boleh membawa kepada penyakit kardiovaskular.
“Setiap tahun, dianggarkan kira-kira 10 peratus pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis meninggal dunia.
“Kebanyakan daripada mereka bukan meninggal dunia akibat masalah buah pinggang, sebaliknya akibat penyakit jantung,” jelasnya.
Kata beliau, perkhidmatan nefrologi Kementerian Kesihatan juga telah memulakan Program Sayang Buah Pinggang sejak 2004 untuk memberikan pendedahan maklumat terkini kepada doktor dan jururawat.
Kos
Bagi Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), Dr. Tan Chwee Choon pula, program dan forum untuk kakitangan kesihatan ini juga berkesan dalam membantu menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
“Dengan memberikan maklumat terkini kepada kakitangan kesihatan, pesakit boleh mendapatkan maklumat mengenai buah pinggang dengan lebih mudah dan tepat.
“Ini penting bagi memastikan pesakit dan juga doktor mendapat maklumat tepat mengenai CKD untuk memudahkan pengesanan dan rawatan awal,” jelasnya.
Tegas beliau, pencegahan dan rawatan awal penting kerana masalah buah pinggang perlu ditanggung untuk satu tempoh yang lama dalam hidup.
Selain itu, Dr. Chwee Choon turut menjelaskan, bilangan sebenar pesakit buah pinggang atau yang meninggal akibat buah pinggang sukar ditentukan.
“Ramai pesakit buah pinggang meninggal akibat sakit jantung sebelum masalah pada organ berkenaan dikesan.
“Memandangkan mereka meninggal sebelum dikesan atau menerima rawatan dialisis, kebanyakannya akan digolongkan sebagai meninggal akibat sakit jantung,” kata beliau.
Menurut beliau, ini jelas menunjukkan kesan berangkai antara masalah pada buah pinggang dengan masalah organ lain, terutamanya jantung.
Tambahnya, ini lebih membimbangkan kerana 90 peratus pesakit CKD di seluruh dunia belum dikesan, terutamanya di negara membangun.
Dr. Chwee Choon memaklumkan kos untuk setiap sesi dialisis adalah antara RM150 hingga RM200 tetapi pesakit akan memerlukan tiga kali rawatan setiap minggu.
“Kos ini berkurangan sedikit di pusat dialisis badan bukan kerajaan (NGO) yang menerima subsidi kerajaan, antara RM50 hingga RM60 untuk setiap sesi.
“Anggaran kasar kos operasi tahunan untuk rawatan pesakit sahaja adalah antara RM100 juta hingga RM200 juta,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun menyatakan kos penyakit buah pinggang bukan hanya dari segi kewangan malahan penderitaan yang terpaksa ditanggung pesakit.

0 comments: